Bapa dia belum pulang? [a story of a father, somewhere, 2009]



Pagi. Malap cahaya pelita, tepu asapnya berhembus. Kabus subuh diiring sejuk meredah setiap ruang. Ruang yang ada di rumah kayu itu. Si bapa bangun untuk kerja. Walau penatnya semalam masih belum terbalas oleh tidur gundahnya. Tua. Mungkin itulah apa yang fikirnya. Aduh, sakit kepala. Timbul juga urat-urat tangan bila jarinya itu mengurut kedut-kedut dahinya. Dan jiwa gagahnya masih tersentuh dengan kemerdupan suram pagi. Seperti merdupnya perasaan si bapa itu, jauh di dalam hatinya melihat keluarganya yang masih lena diayun tikar-tikar mimpi indah. Mimpi akan hidup yang sedikit lebih sempurna dan selesa, cukuplah seperti tetangga di sebelah rumah. Punya rumah benderang dek cahaya kalimantan. Neon-neon jadi pagar.


''Tidurlah kamu... Bermimpilah. Mimpi tu penawar duka hidup kita'' detikan kecil dari hatinya. Mungkin... ya, mimpi itu mungkin ubat untuk perit-perit hidup kita... Hanya mimpi yang dapat mengubat keperitan hidup mereka, melupakan sengsara biarpun hanya untuk seketika. Sebab yakin baginya, mimpi-mimpi itu nyata berbeza dengan apa yang di rasa bila sudah terjaga. Bermimpilah bila itu jalan yang ada, biarpun sekadar untuk merasa bagaimana nikmatnya menggenggam impian kita.Perlahan disauhkan saja selimut, bangkit tenang dari tempat tidur yang beralaskan ayaman lama segulung mengkuang kecil, menyucikan diri sebelum senyap membentang sejadah usangnya. Seusang dirinya.

Tersentak. Si ibu tersedar dari tidur. Sempat juga dia melibaskan kainnya mengusir gerombolan nyamuk yang berterbangan menghisap darah anak-anaknya yang masih tidur. Bingkas dia ke dapur menghidupkan api dari longgokan kayu yang ada, dia mahu kopi si bapa siap tersedia. Sengaja asap dari dapur itu dibiarkan berkeliaran di sekitar rumah, mahu penghisap darah segera menghentikan operasinya. Dia tahu, seperti hari-hari kemarinnya dia juga harus segera melakukan tugas yang ditanggungnya sebagai orang kedua berpengaruh dirumah. Sebentar lagi anak-anaknya juga akan dikejutkan untuk bersedia ke sekolah. Sepertimana yang dirasai suatu ketika dulu oleh anak sulungnya yang kini jauh diperatauan orang, di ibu kota, yang sibuk mencari jalan di sana untuk membawa pulang sesuatu yang diharapkan dapat mengubah susun atur hidup keluarganya. Insya-Allah.

Termenung seketika si ibu mengimbas kembali saat-saat membesarkan bujangnya itu sampailah akhirnya dia hidup jauh berseorangan di sana. Mengatur hidupnya, mencari impiannya, yang pergi tanpa membawa apa-apa biarpun sebiji kuih apam untuk dijadikan bekalan. Seperti juga apam dan kuih-kuih lain yang dibuat oleh si ibu setiap pagi untuk dijual di sekitar kampungnya. Biarpun sebenarnya si ibu tidak pernah percaya anaknya itu boleh melangkah sebegitu. Waktu kecilnya dia anak yang terlalu susah dijaga, kasar tingkahnya. Otaknya, tidak pernah mahu menerima apa-apa yang diberi di sekolah, di rumah gurunya, atau di mana-mana. Kesian kau si bujang. Apa khabarmu? Apalah yang kau tunggu di sana. Pulanglah jangan kau lambat... Bawalah pulang apa sahaja yang kau mampu dan kau tunjukkan buat mereka. Mereka yang menunggumu di rumah.
Selesai di dapur, si ibu keluar membawa secawan kopi panas buat suaminya, yang baru saja selesai memanjatkan doa-doa panjang kepada yang Maha Kuasa. Moga saja hidupmu lebih berkat dan dilimpahkan rezeki wahai si bapa tua. Amin ya rabbal-alamin.

Bila saja cawan kopinya kontang, langkahnya mula dibuka menyusuri kesejukan gelap pagi. Terlihat jelas ketar-ketar ayunan kakinya, berjalan ke bangsal lalu keluar sambil menolak sahabat lamanya, sebuah motorsikal tua. Yang setia menemaninya setiap hari ke tempat bapa itu bekerja. Dan keheningan pagi mula dikotori dengan deheman sumbang bunyi enjin tua, disambut dengan salakan kebencian oleh beberapa ekor anjing yang terjaga.


. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Dan hari sudah senja. Matahari semakin penat bercahaya. Menunggu bulan mengganti tempatnya. Bingit-bingit suara unggas mula bernyanyi-nyanyi. Tapi bapa dia masih belum pulang. Mungkin hari ini dia banyak kerja. Makan gaji, tapi itu sajalah yang termampu baginya. Bapa dia bukan lepasan sarjana. Jauh, dia tidak punya apa-apa, cuma kudrat tulang empat kerat yang diperahnya. Atau mungkin bapa dia ke pasar mencari sesuatu untuk santapan keluarga, tapi, sudah agak lama juga pasar itu tidak dikunjunginya. Bukan selalu poket si bapa itu ditemani helaian kertas-kertas yang dipunyai seperti mereka. Yang jadi tuhan bagi sesetengah makhluk, manusia. Atau bapa dia singgah ke rumah saudaranya yang baru sahaja dikurniakan seorang ahli keluarga baru. Hai si kecil, selamat datang ke dunia. Dunia kita, dunia yang tidak seindah konotasinya. Keakraban hubungan kekeluargaan yang selalu dia nasihatkan mungkin mendorongnya ke situ. Boleh jadi juga bapa dia ke rumah sahabat-sahabat lama seperjuangannya, yang sudah bersumpah kau adik aku abang dan kakaknya, bertanyakan khabar agaknya. Senja. Tapi bapa dia masih belum pulang.

Laungan azan maghrib bergema mengusung seruan yang maha Esa, menyeru umat bertemu pada-Nya untuk seketika. Tapi bapa dia masih belum pulang. Penat si ibu menunggu suaminya itu di tangga rumah, kerana dia mahu menjadi orang pertama yang menyapanya, dan menceritakan kegembiraannya mendapat sedikit pendapatan, walaupun ia bukan keuntungan, hasil jualan kuih-muih di siang tadi. Tapi bapa dia masih belum pulang. Bapa dia belum pulang dari kerja. Bapa dia belum pulang ke rumah. Melangkah hampa si ibu memanjat tangga, ada sedikit gundah menjelma di dadanya. ''Ahh, biarlah. Sekejap lagi sampailah tu''. Si ibu menenangkan dirinya, mengusir jauh fikiran busuknya. Huh, keluhnya tak sudah-sudah. Kenapa si bapa belum pulang. Fikiran kusut si ibu semakin tegang. Bapa itu sudahlah tua, genggam cangkul pun susah. Matanya juga sudah dua. Hitam suluh malam, jauhkan bala, mungkin motor si bapa sudah sampai waktunya. Atau mungkin si bapa...

Ahh, tidaklah. Nauzubillahminzalikh. Mana bapa tua ni...

Naiklah si ibu terus ke pintu rumah, ada beras yang mahu ditanaknya. Sekejap lagi tujuh orang anaknya juga pasti ke dapur menolongnya. Yang perempuan sentiasa disisi ibunya, menghulurkan tangan, menyimpan hikmat memasak dari ibunya. Yang lelaki berpeluh-peluh menghidupkan api dari kayu-kayu yang dipungutnya petang tadi. Yang kecil hadir sekadar melihat-lihat gelagat mereka, kalau tidak merengek minta abangnya bermain bersama di ruang tamu. Malam sudah tiba. Tapi bapa dia belum pulang.
Sampailah satu ketika. Si ibu yang gundah menyerahkan tugasnya didapur kepada anak-anaknya. Dia harus berbuat sesuatu untuk menghilangkan firasatnya yang semakin parah. Ada rancangan dalam kepala. Pergilah dia ke rumah adiknya, membawa dia keluar ke tempat kerja si bapa, dan si ibu duduk dibonceng belakang. Sepanjang perjalanan ke sana, si ibu diam, masih tetap berwajah tenang tapi hatinya bagai di dirojak dengan kenyaringan bunyi motorsikal tunggangan adiknya itu. Belum sampai ke tempat yang dituju, adiknya memperlahankan lajakan motorsikal sebaik ternampak kelibat beberapa orang yang berkerumun di tepi jalan, tidak jauh dari pintu kampung. Motorsikal semakin perlahan sebaik sahaja seorang perempuan yang hampir sebaya si ibu menunjukkan isyarat supaya berhenti. Oh, itu kenalannya, orang sekampung juga.
Perempuan tua itu ada wajah yang sepertinya ketakutan. Entah hantu mana yang dijumpanya malam-malam begini di tepi jalan, fikir si ibu. Malang nasib perempuan itu, baru saja dia ingin membuka mulut tiba-tiba si ibu meraung! Ya Allah!!!!!!!!!!!!!!!

Ada sebuah motorsikal yang terdampar, berdarah. Itu motor si bapa! Mana dia?! Mana si bapa? Tapi kenapa itu motor dia? Ibu melompat dari boncengan. Sibuk adiknya mengawal motorsikal yang terhuyung akibat kelakuan mengejut si ibu. Keadaan cemas membuatkan si ibu tersentak, otaknya hilang jatuh entah dimana. Ibu tidak tahu apa harus dia buat, tidak sepatah pun perkataan yang sempat terucap dari bibirnya dapat difahami oleh orang-orang yang ada disitu. Si ibu ditenangkan oleh seorang lelaki, Pak Sudin dan perlahan dia bersuara. Si bapa jatuh dari motorsikal, katanya. Astagfirullahalazim. Istighfar si ibu. Pak Sudin meneruskan bicaranya, walaupun si ibu seperti diawangan, tidak pasti samada dia mendengarnya atau tidak. Dia, si ibu..... jadi gila. Si bapa dijumpai terbaring dengan motorsikalnya beberapa kaki dari situ oleh seorang pengusaha kereta sewa. Si bapa dalam perjalanan di hantar ke hospital, hampir sejam sebelum mereka sampai di situ. Ketika itu dia memegang kepalanya, pecah dengan darah yang mengalir deras. Cukup saja melihat darah yang banyak melekat di badan motornya dan yang bergumpal-gumpal basah di atas tanah, tahulah dia si bapa hilang banyak darah.

Tanpa menghiraukan orang yang masih sibuk merisaukannya di tempat itu, yang cuba menenangkan dirinya supaya banyak bersabar, si ibu menyuruh supaya adiknya mengahantarnya pulang secepat yang boleh. Turuti mahunya, dia mahu ada di sisi si bapa sekarang juga. Melakukan sesuatu untuk menghalang darah di kepala si bapa dari terus membasahi dirinya. Dia mahu si bapa berkata sesuatu dengannya. Sekurang-kurangnya si ibu mahu dengar si bapa berkata ''aku tidak apa-apa. Asmah, tiada apa yang perlu kau risaukan tentang aku''. Memang, dia juga sangat-sangat mahu memarahi si bapa kerana tidak berhati-hati menunggang motorsikalnya. Tapi, itu semua hanya mahunya.

Sesampai di rumah, si ibu berkejar membungkus pakaian dan mengambil tas tangan yang berisi segala dokumen miliknya dan si bapa. Dengan airmata yang dibiarkan mencurah keluar, anaknya yang bongsu ditukarkan bajunya. Dia harus ikut bersamanya ke hospital untuk melihat bapanya disana. Sedang dia sibuk berkemas, anak-anaknya yang lain sudah menangis teresak-esak. Adik si ibu sudah menceritakan apa yang berlaku pada bapa mereka. Ibu hanya dapat menatap wajah anaknya satu-persatu. Biarpun terdetik juga keinginannya supaya menyuruh mereka tenang dan berhenti menangis. Tapi bukan dayanya untuk dia berbuat begitu. Air matanya sendiri saja tidak mampu di tahan, sebak dadanya semakin memberat. Ya Allah, tabahkan hati si ibu. Dia tidak perlu menanggung semuanya. Hatinya tidak sekuat manusia lain yang Engkau telah jadikan. Hatinya tidak sehebat hati Rabiatul Adawwiyah, penggoncang dunia. Dia hanya seorang ibu tua. Dan, Argggh! bertahanlah kau si bapa!

................................................................................................

Di hospital itu. Bapa dia koma. Dia tidak sedarkan diri, kata doktor dia perlu dibedah serta merta. Cerebral concussion, iya, si ibu memang tidak tahu itu apa. Tapi dia tahu sesuatu yang parah sudah terjadi pada bapa. Dan si ibu tetap membiarkan air matanya mencurah. Dan dia tidak terfikir pun untuk berhenti dari berbuat begitu. Kusut fikiran dan rontaan jiwanya yang menolak air matanya itu keluar. Suasana ruang menunggu seperti sesak dipenuhi dengan perasaan hiba yang ikut bersamanya. Fikir si ibu, bagaimana harus dia katakan kepada anak sulungnya yang sedang sibuk disana. Si ibu tahu, anaknya bakal menghadapi peperiksaan dua minggu dari hari itu. Mungkin tidak perlulah dia tahu, nanti jadi bebannya pula. Tapi itu tidak adil baginya. Anak itu juga sudah cukup menderita, jauh dari keluarga. Pergi kemana saja tanpa ada sesiapa di sana. Sakit demamnya pun dia diamkan saja.


Sedang si ibu memikirkan cara, dia tersentak dengan kedatangan ahli-ahli keluarganya dan juga kenalan-kenalan yang ingin bertanyakan khabar. Ada yang datang seperti histeria, meraung seperti si bapa sudah meninggalkan dunia. Begitu juga saudara-saudaranya yang selama ini tidak pernah mengambil tahu akan keadaan keluarganya turut datang berkunjung. Mimik muka sedih yang direka-reka. Si ibu tidak menghiraukan itu semua. Bukan itu kedatangan yang dinanti-nantikannya. Anak sulungnya masih disana, anak yang jadi bukti cintanya pada si bapa tua. Biarlah, mungkin hari esok adalah masanya. Anaknya akan tahu juga.  Keadaan yang dihadapinya masih jauh untuk membuatnya berasa tenang. Si bapa masih belum membuka mata. Hembus nafasnya terasa amat berat. Mana anak-anaknya semua juga seperti dilupa. Dan si ibu terlelap disisinya. Airmatanya kering ditangan kedut si bapa tua. Hai bapa tua, punya leka kau bisa tidur lena, cuba buka mata, keluargamu sudah seperti sekumpulan orang-orang gila.

Hari kedua dihospital sana. Si ibu selesa menumpang di katil si bapa. Jadi penonton melihat si bapa di periksa. Balutan di kepala bapa masih berwarna merah. Dan dia masih tidur lena. Entah mimpi apa yang dinikmatinya hingga tidak mahu membuka matanya. Mimpi jadi kaya?. Tidak juga dia gila harta. Pagi, petang, malam, esoknya, Allah datangkan khabar gembira, kerana perlahan-lahan, bapa mula membuka mata. Alhamdulillah. Terubat juga hati si ibu meihat sedikit perubahan suaminya itu. Tapi pandangannya tidak bertenaga. Si bapa seperti khayal. Tidak bersuara. Si ibu puas memanggil namanya, tapi tiada balasan atau sahutan. Si bapa tidak mampu bercerita, matanya hanya melihat-lihat disekitarnya, ditempatnya berbaring. Dan si  bapa suka meracau-racau. Pelik. Sekejap dia berdoa. Sekejap dia seperti membaca surah-surah, merasa dia sedang bersolat walau belum waktunya. Sekejap si bapa seperti meminta, merayu-rayu sesuatu untuknya. Tapi semuanya kabur. Tidak jelas apa yang dibacanya. Suaranya saja seperti angin sempoi yang berhembus, yang hanya alam saja dapat memahaminya. Dan sehingga ke hari itu, orang tidak putus-putus datang menziarahi dia yang sedang berbaring  layu diatas cadar putih yang bertompok merah. Setiap mereka yang singgah pasti merasa hiba melihat dirinya begitu. Seperti batu. Atau tunggul. Atau kayu. Yang tidak punya roh untuknya bersapa. Hanya mata si bapa yang mengekori setiap pelawatnya, kelip-kelip, dan berkelip.  Dan setiap itulah juga si ibu mengeluarkan air matanya lagi, sabar melihat tingkah lemah suaminya.


Sudah hampir seluruh orang kampungnya berkunjung menjenguk si bapa, tapi si sulung, anaknya sendiri dibiarkan leka di sana. dia masih bingung, yang anaknya itu belum tahu apa yang telah menimpa bapanya, belum bertemu bapanya, belum menangis melihat bapa kandungnya longlai begitu. Seluruh bahagian kepalanya berbalut, basah dengan darah. Luka panjang sejengkal di tepi kepalanya terpaksa di jahit supaya tengkoraknya tidak tersembul keluar. Bantal dan cadar katilnya juga sudah beberapa kali ditukar dengan yang bersih. Tangannya ada jarum besar dan gegelung yang mengalirkan air ke tubuhnya. Bibirnya merekah seperti tanah kontang di Sahara. Si bapa tidak diberi air minum, atau makanan. Dibiarkan si bapa berpuasa. Satu gelung panjang di sumbat jauh dari hidung sehingga ke usus si bapa, yang menyalurkan cecair seperti susu ke perut kosongnya. Iya, si bapa sangat terseksa dengan gelung itu. Gelung itu syaitan baginya. Tergerak saja bagai mahu di sental dan disumpahnya. Tapi dia langsung tidak berdaya. Kedua-dua tangannya di ikat dengan kain di tepi-tepi katil. Tangannya itu sudah mula bergerak dan menarik gelung yang menembusi kulit dan setiap rongga badannya. Itupun setelah dinasihatkan, barulah si ibu sepakat untuk mengikat tangannya sehingga memperlihatkan keadaan si bapa seperti itu. Seperti orang gila yang cuba lari. Seperti pembunuh bersiri yang polis cari. Seperti apa-apa saja, yang membuat si bapa terlihat hina sebegitu.


 Semalam, hari itu, dan esoknya. Ibu jua setia mengepit si bapa. Membersihkan dia. Menangis disisinya. Menghembus semangat pada bapa supaya dia kuatkan dirinya. Supaya dia sembuh segera. Supaya dia tidak meninggalkan mereka selamanya. Si bapa tua, semangat hidupnya juga sudah tua. 

Incoming entry.

Islamic Terrorism, Virtual Terrorism.

These are the topic of my next entry which I still working on it till these days. A thing is, there is some criticisms and recommendations from a few friends of mine saying that I should stop from what I'm doing right now, or I should change it to other topic. Reasons? There is a high potential for me to be banned from blogging in future. Its not easy to post something that related to issues of sensitivity [Islam, Malays, terrorism, etc]. And for me, I'm not going to provoke any racial issues or insulting the sanctity of my beloved Islam. And thanks for that brilliant suggestion, but sadly I will keep continuing on what I've started. Cause know what, I don't care people gives a shit on me. It's my own perspective. And I'm going to write about it really really soon.

LANGKAH KAKI KIRI DAN KANANKU.

Mungkin ia agak agak perlahan, isinya sumbang, bahasanya lintang-pukang, ceritaku songsang. Tapi dorongan untuk aku cuba melangkah semula dalam aktiviti menulis blog ini sangat kuat, atas kesedaranku dalam beberapa sebab. Tujuan ilmiah, mungkin itu antara elemen yang kurang dalam penulisan sebelum ini. Tapi aku tahu, aku juga x dapat lari untuk bersuara tentang dunia dan ceritanya, apa yang aku lihat dan aku dengar. Apa yang aku harap, apa yang kumimpikan, apa yang kufikir patut dikongsi kisahnya. Sebab membuka langkah itu memang susah, apalagi bila kita kurang pasti arahnya kemana. Tujuannya apa. Selagi ada peluang untuk mencuba, rasanya ia tidak salah. Cuma kali ini biarlah aku mulai dengan bertemakan unsur keremajaan untuk menulis semula sebagai seorang penulis bebas. Ya! Bebas!. Itu perkataan yang kurasa cukup sebagai konklusi kelahiran blog kali ini. Hidup remaja, kisahnya, impiannya, cintanya. Biarkan jari-jemari bergerak mengikut alunannya, menari di atas keyboard laptop usangku ini. Kulukis anganku, kubentuk niatku, kulakar ceritaku, dengan kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim, selamat menari wahai jari-jemariku!

Bila.

Bila kiri itu disalahtafsirkan.
Bila kulit jadi aras penanda.
Bila dua dunia udaranya berbeza.
Bila sapaan pertama hanyalah rutin yang remeh.
Bila gurauan tak didalami.
Bila maksud dipesongkan.
Bila hati tak terucapkan.
Bila perbualan dilupakan. Ketawa ditinggalkan.
Bila gembira dipermainkan.
Gurauan baginya.
Itu hidupku. Bagiku.